Protection

Memahami Hibah Dalam Takaful Dan Kepentingannya

05 July 2023 | Kuala Lumpur

Kematian seseorang yang merupakan pencari nafkah utama keluarga selalunya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan. Bukan sahaja mereka bersedih malahan keluarga yang ditinggalkan juga berisiko menghadapi masalah kewangan akibat hilangnya sumber pendapatan yang tetap. Dalam keadaan ini, menyertai pelan takaful yang boleh dihibahkan merupakan satu cara untuk memastikan perlindungan kewangan dan juga memberikan manfaat kepada ahli waris jika berlaku kemalangan atau kematian

Dengan menyertai pelan takaful yang mempunyai manfaat hibah , keluarga yang ditinggalkan akan menerima manfaat kewangan yang telah ditetapkan dalam sijil takaful bagi membantu mereka menampung perbelanjaan harian serta memenuhi keperluan hidup. Oleh itu, menghibahkan manfaat adalah satu bentuk perlindungan kewangan yang penting untuk membantu keluarga menghadapi cabaran selepas kematian penyara utama keluarga.

Apakah maksud hibah manfaat takaful?

Anda pasti pernah mendengar perkataan ini disebut oleh orang di sekeliling anda. Ejen takaful juga giat mempromosikan hibah kepada orang ramai di pelbagai saluran yang pastinya pernah anda lihat. Namun, pernahkah anda mengambil tahu maksud perkataan tersebut? Adakah anda memahami maksud hibah dan kepentingannya?

Maksud Hibah dan Hibah dalam Takaful

Secara ringkasnya, hibah bermaksud hadiah atau pemberian secara sukarela kepada individu yang dikehendaki. Hibah dalam takaful pula merujuk kepada pemberian manfaat takaful selepas anda meninggal dunia, kepada individu yang anda kehendaki dan telah dinamakan, atau dikenali sebagai benefisiari, di dalam sijil takaful anda.

Kepentingan Hibah dalam Takaful

Kematian adalah satu perkara yang tidak dapat dijangka. Sekiranya seseorang meninggal dunia, semua harta pusaka yang dimiliki si mati harus diagihkan melalui hukum Faraid. Ini kadangkala menjadi cabaran bagi ahli keluarga terdekat seperti suami, isteri atau anak-anak yang mungkin memerlukan sokongan kewangan dengan segera untuk menguruskan jenazah si mati dan menampung perbelanjaan harian mereka. Berikut merupakan beberapa kepentingan hibah dalam membantu ahli keluarga yang baru sahaja kehilangan orang tersayang.

Proses Tuntutan yang Lebih Cepat

Pemberian hibah dikendalikan oleh pengendali sijil takaful. Ini bermaksud, benefisiari hanya perlu berurusan dengan syarikat takaful sahaja untuk menuntut hibah yang telah diberikan oleh pemilik sijil takaful yang telah meninggal dunia. Proses tuntutan kebiasaannya melibatkan pengisian borang dan pengesahan dokumen sebelum bayaran hibah dibuat kepada benefisiari. Proses pengagihan harta melalui Faraid pula kebiasaannya akan memakan masa yang lebih lama dan melibatkan ramai pihak selain dari ahli keluarga terdekat. Dengan adanya hibah dalam takaful, ahli keluarga terdekat akan menerima bayaran manfaat daripada pengendali sijil takaful dengan lebih cepat sekaligus dapat membantu mereka untuk menampung kos perbelanjaan harian dan meneruskan kehidupan selepas kehilangan orang tersayang.

Pemberian Terus dan Sukarela

Sebagai pemilik sijil takaful, anda bebas memilih untuk menamakan sesiapa sahaja dalam sijil anda sebagai benefisiari atau penerima manfaat. Anda boleh memilih benefisiari dalam kalangan ahli keluarga anda sendiri, atau pun individu lain seperti ibu dan bapa, adik beradik, atau sahabat baik. Selepas anda meninggal dunia dan manfaat sijil takaful anda dibayar kepada benefisiari sebagai hibah, wang tersebut menjadi hak milik mutlak benefisiari dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak. Jadi, sekiranya pemilik sijil takaful ingin mewariskan manfaat takaful beliau kepada individu yang tiada dalam senarai penerima Faraid, beliau boleh menghibahkan manfaat tersebut kepada benefisiari. Disebabkan pemberian ini adalah secara sukarela, ahli keluarga atau waris yang lain tidak boleh mempertikaikan manfaat yang telah dihadiahkan kepada benefisiari tersebut.

Bantuan Kewangan buat Orang Tersayang

Selepas kematian anda, insan yang paling terkesan adalah ahli keluarga terdekat anda. Sekiranya anda seorang pencari nafkah utama dalam keluarga, kehilangan anda pasti akan sangat dirasai oleh mereka. Dengan mendaftar pelan takaful dan menghibahkan manfaat dari pelan tersebut kepada ahli keluarga, anda sebenarnya telah meringankan beban kewangan mereka, lebih-lebih lagi jika anda adalah pencari nafkah utama keluarga. Bayaran manfaat hibah tersebut boleh digunakan untuk membantu ahli keluarga menguruskan pengebumian serta dapat memberikan mereka ruang untuk menyesuaikan diri sebelum mereka dapat berdikari dari segi kewangan.

Melindungi_orang_tersayang_dengan_hibah_takaful.jpg

Melindungi orang tersayang dengan hibah takaful

Menamakan Penerima Hibah dalam Takaful

Menurut Perenggan 2 (1) Jadual 10 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, “Peserta takaful yang telah mencapai umur enam belas tahun boleh menamakan individu untuk menerima manfaat takaful yang kena dibayar atas kematiannya di bawah sijil takaful itu, sama ada sebagai seorang wasi, atau sebagai seorang benefisiari di bawah hibah bersyarat, dengan memberitahu pengendali takaful berlesen secara bertulis mengenai nama, tarikh lahir, nombor kad pengenalan pendaftaran negara atau nombor sijil kelahiran dan alamat penama.”

Oleh itu, semasa anda mendaftar untuk pelan takaful keluarga, anda perlu melengkapkan permohonan penamaan untuk memaklumkan kepada pengendali takaful bahawa anda ingin melantik individu yang anda pilih sebagai benefisiari (penerima manfaat) atau wasi (pengendali manfaat). Bagi pihak pengendali takaful pula, mereka tertakluk kepada akta yang sama yang telah mewajibkan mereka untuk menjelaskan kepada anda sebagai peserta takaful bahawa anda mempunyai pilihan untuk menamakan penerima manfaat takaful di bawah hibah bersyarat.

Proses Tuntutan Hibah oleh Benefisiari

Selepas pemilik sijil takaful meninggal dunia, penama perlu melaksanakan proses tuntutan mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh pengendali takaful sebelum bayaran manfaat tersebut boleh dibuat kepada mereka. Kebiasaannya, prosedur tuntutan melibatkan pengisian borang tuntutan berserta penghantaran bukti kematian pemilik sijil takaful tersebut (sijil kematian) dan dokumen sokongan lain. Tempoh pembayaran pula bergantung kepada tempoh proses urusniaga yang ditetapkan oleh pengendali takaful.

Pelan takaful berserta manfaat Hibah untuk Anda

Kini anda mungkin lebih jelas dengan konsep hibah dalam takaful serta kepentingan menyertai pelan takaful dan menghibahkan manfaat takaful anda kepada benefisiari yang anda pilih. Jadikan hibah sebagai hadiah perpisahan dan hadiah terakhir dari anda untuk orang tersayang agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan selesa. Di FWD Takaful, kami menawarkan 2 pelan takaful keluarga yang boleh dihibahkan, bergantung kepada keperluan kewangan ahli keluarga dan kemampuan anda. Pelan yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

(1) FWD Protect Direct merupakan pelan takaful keluarga bertempoh dengan sumbangan serendah RM11.17/bulan. Pelan ini menyediakan manfaat kematian sehingga RM500,000 yang akan dibayar secara sekaligus kepada benefisiari anda. Bayaran sekaligus tersebut boleh digunakan untuk menampung kos pengebumian, perbelanjaan harian ahli keluarga anda sementara mereka menyesuaikan diri untuk berdikari, menyelesaikan hutang atau liabiliti yang mungkin ditinggalkan anda dan lain-lain lagi. Anda boleh memilih untuk mendaftar pelan ini secara individu atau mendaftar secara berkeluarga sehingga 4 orang ahli di dalam satu pelan yang sama. Sekiranya anda mendaftar secara berkeluarga, pelan ini menyediakan manfaat pengecualian sumbangan, yang bermaksud, sumbangan takaful bagi ahli keluarga anda akan terus ditanggung sekiranya anda meninggal dunia terlebih dahulu. Manfaat ini dapat memastikan mereka terus dilindungi sekalipun anda tiada lagi di sisi mereka.

(2) FWD Kasih merupakan pelan mikrotakaful yang ditawarkan pada harga mampu milik, dengan sumbangan serendah harga secawan teh tarik! Bermula dari RM2.03/bulan, pelan ini menyediakan jumlah perlindungan untuk manfaat kematian dan hilang upaya penuh & kekal sehingga RM80,000 dan membayar manfaat secara sekaligus untuk membantu keluarga anda menghadapi cabaran selepas kehilangan ahli keluarga daripada segi kewangan. Pelan ini layak disertai oleh individu yang berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

FWD Takaful menawarkan pelan dalam talian yang ringkas, mudah difahami dan berpatutan untuk semua lapisan masyarakat. Sekiranya anda masih belum mendaftar pelan takaful, dapatkannya segera secara dalam talian dengan FWD Takaful. Jangan tangguh niat anda untuk melindungi ahli keluarga tersayang kerana pilihan anda hari ini, menjadi penentu masa hadapan mereka. Sila layari laman web kami di www.fwd.com.my untuk membaca terma dan syarat penuh bagi pelan FWD Takaful.